Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,
Terlebih dahulu saya merakamkan jutaan terima kasih kepada semua warga sekolah terutamanya Jawatankuasa Perpustakaan dan Media SK. Bukit Piatu, Bentong, Pahang atas usaha menerbitkan Portal Rasmi SK Bukit Piatu. Semoga usaha ini akan berterusan dan sentiasa berkekalan demi meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran di sekolah ini.
Usaha ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan penggunaan ICT sebagai medium pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Justeru saya yakin dan percaya bahawa ICT adalah medium terbaik untuk menyampaikan maklumat dan ilmu kepada murid-murid. Saya berharap semua murid SK Bukit Piatu dapat memanfaatkan laman portal web ini sebaik mungkin demi mengejar ilmu yang tidak mengenal batas sepadan.
Saya merasa bangga dengan kewujudan laman portal web ini. Dengan kesempatan ini, saya bagi pihak warga serta warga kerja SK Bukit Piatu ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pengunjung yang telah sudi melayari laman portal web sekolah kami. Sesungguhnya kewujudan laman portal web ini adalah bersesuaian dengan matlamat sekolah iaitu untuk melahirkan warga yang bermaklumat pada tahun ini.
Semoga laman web ini akan dapat mempereratkan silaturahim dan hubungan muhibah dengan semua pihak, terutama untuk meningkat kemajuan dan kecemerlangan sekolah dalam arus pendidikan perdana negara ini.
Oleh yang demikian, saya amat berharap semoga barisan pendidik di sekolah ini akan mempertingkatkan usaha dan khidmat bakti mereka untuk menjana kecemerlangan sekolah ini ke mercu kejayaan. Saya sentiasa menaruh keyakinan bahawa barisan pendidik berkemampuan menabur bakti dengan komitmen yang amat tinggi untuk memperkasa sekolah ini.
Di samping itu, saya juga berharap semoga murid-murid dapat mempertingkat usaha untuk menimba ilmu, terutama untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang kurikulum dan kokurikulum. Sesungguhnya, ilmu dan pengetahuan amat berguna dalam kehidupan kita pada zaman ini.
Akhir kata, terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang fikiran dan tenaga dalam usaha membangunkan laman portal web ini.
Gemilang 2010
|